Tasik Kenyir Vacation Trip Day 2 - Lovely Sunshine Tasik Kenyir Vacation Trip Day 2

Tasik Kenyir Vacation Trip Day 2

Assalamualaikum,

Hari kedua trip percutian ini bermula dengan sarapan pagi. Kami sarapan pada pukul 7.30 pagi. Kemudian, kami menikmati pemandangan sementara bot bergerak menuju ke destinasi seterusnya, Sungai Lasir. Kami banyak melakukan aktiviti di dalam air. Jadi, keluarga Mya ada seorang sahaja yang menangkap gambar. Itupun menggunakan kamera kalis air. Kalau tak ada gambar Mya tu, maksudnya jurugambar jalan terlalu lambat. Hehehe.

Perjalanan masuk ke Air Terjun Lasir mengambil masa 30 minit. Kami merentasi jambatan gantung untuk ke tempat mandi. Kami sempat mengambil gambar di sini yang berlatarkan Air Terjun Lasir. Sungai ini agak berbatu sedikit tetapi mempunyai kawasan berpasir berbanding Sungai Saok. Kami disuruh memakai jaket keselamatan semasa mandi kerana kedalaman air berbeza pada satu kawasan. Kami sangat seronok dan kesejukan. Mya dan kakak ipar pulang awal ke bot. Sebelum itu, Mya terjatuh atas batu sebab licin sangat. Sakit badan, lebam lutut dan siku. Sekarang pun tak baik lagi. Huhuhu. Sampai sahaja di bot, kami terus membersihkan diri di bilik mandi. Kemudian, kami solat zohor berjemaah dan berehat seketika di bilik tidur.

air terjun
Jambatan Gantung di Sungai Lasir

Mandi di Sungai Lasir
Kami dipanggil turun untuk makan petang. Makanan petang yang disediakan ialah bubur kacang, roti untuk cicah dan teh panas. Bubur kacang sangat sedap kerana dimasak dengan isi durian. Kemudian, kami adik beradik hanya menghadap telefon untuk menghilangkan rasa bosan. Line internet pun tak ada nak update blog. Hanya mampu buat draft berdasarkan aktiviti yang telah dijalankan. Selepas itu, Mya dan kakak ipar memasak Maggi Hot Cup kerana cuaca tiba-tiba menjadi sejuk. Ada petanda rupanya, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Di bahagian anjung bot dimana Mya dan kakak ipar tengah lepak turut terkena tempias. Kami segera masuk ke bilik dan duduk sehingga hujan reda. Akibat terlalu bosan menghadap telefon, Mya pun terlelap atas katil.

Apabila tersedar dari tidur, hari sudah hampir senja. Mya bingkas bangun dan turun ke anjung sambil menunggu azan Maghrib masuk. Selepas selesai solat berjemaah, kami turun ke anjung utama untuk menjamu selera. Menu utama pada malam ini ialah ikan dan ayam bakar. Ikan yang dipancing sendiri oleh kawan emak dan kru bot. Ikan yang dipancing ialah ikan baung, ikan lampam dan ikan tilapia. Kemudian, kami meneruskan aktiviti malam dengan sesi ice breaking - berkenalan dengan seluruh keluarga kawan-kawan emak.

Waktu Senja
Waktu senja di Tasik Kenyir

Ikan Baung dan Ikan Lampam

Kami terus memulakan permainan kotak beracun selepas berakhirnya sesi ice breaking. Mereka cuba mengenakan sesama sendiri terutamanya adik Mya dan kawan-kawan emak. Kawan-kawan emak memanggil adik Mya sebagai penglipur lara. Adik Mya menceriakan suasana di atas bot. Semua orang terhibur dengan telatah adik Mya. Siapa yang terkena kotak beracun mestilah mempersembahkan bakat yang tersendiri dan menerima cenderahati dari pihak penganjur. Akhir sekali, kami dibenarkan melakukan aktiviti bebas seperti karaoke, menonton televisyen dan beradu di atas katil.

Nantikan sambungan Tasik Kenyir Vacation Trip Day 3.

Post a Comment

1 Comments

  1. masha Allah. cantiknya waktu senja dekat sana. ada lagi game kotak beracun ni ye haha.

    btw, kat mana button follow eh. tak jumpa

    ReplyDelete

Terima kasih atas komen yang diberi.
Mya akan blogwalking ke blog anda semula.