Novel Tunang Tak Guna - Lovely Sunshine Novel Tunang Tak Guna

Novel Tunang Tak Guna

NOVEL TUNANG TAK GUNA | Assalamualaikum. Hari ini mya nak cerita serba sedikit tentang novel Tunang Tak Guna. Novel ini ialah salah satu novel yang mya beli dekat Big Bad Wolf di The Mines. Novel ini ditulis oleh Murni Aqila. Ini adalah novel kelapan beliau. Novel ini adalah terbitan Alaf 21. Novel ini mempunyai 704 muka surat.

Novel Tunang Tak Guna
Cover Muka Depan

First Impression:
Bagi mya permulaan cerita ini tidak begitu menarik. Mungkin watak heroin yang menggelabah tu melampau sangat. Ada juga babak yang tidak masuk akal. Contoh; nak pasang lilin boleh, tapi ada ke orang pasang lilin letak berdekatan dengan pakaian. Tak ada kan? Selalunya kita pasang dekat dapur, bilik air, ruang makan dan ruang tamu.

Flow dia makin lama makin menarik. Lebih-lebih lagi bila Ezzat Zarif bertemu dengan awek rimau. Awek rimau ni pulak muka dia sebijik macam tunang yang dia tinggalkan 6 tahun lepas. Sejak muncul awek rimau tu hidup Ezzat serba tak kena. Bagi dia mungkin ini balasan  dari Allah sebab dah menyakitkan hati tunang sekeluarga. Yang menambah seri di dalam hidup Ezzat semestinya Ajai. Orang yang dah banyak membantu dia semasa berada di Kuala Lumpur. Ada sahaja telatah lucu di antara mereka berdua.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ezzat bertemu dengan awek rimau selepas Ajai cuba memikat awek rimau tersebut. Dia dipanggil awek rimau kerana sikapnya yang panas baran dan suka memukul. Dia memukul Ajai dengan kasut tinggi dan memanggil Ajai lelaki miang. Sejak dari pertemuan pertama Ezzat dan awek rimau itu. Dia sentiasa tercari-cari awek rimau itu. dia agak terkejut melihat rupa awek rimau itu. Sama seperti arwah tunangnya yang meninggal akibat kebakaran 6 tahun yang lepas. Bagi Ezzat, mungkin pelanduk dua serupa kerana awek rimau itu langsung tidak mengenalinya.

Ezzat merupakan pemilik restoran western yang dikenali dengan nama the Cheese Steak di Johor Bahru. Ini adalah cawangan ketiga the Cheese Steak. Ini merupakan hadiah daripada Encik Kamal, ayah angkat Ezzat. Usaha Ezzat telah banyak membantu terutamanya dari segi keuntungan restoran. Ezzat dan Ajai berpindah ke Johor Bahru bersama-sama. Ajai merupakan pembantu Ezzat di restoran dan juga rakan baik yang sentiasa ada bersama. Tidak kira senang mahupun susah.

Mereka menyewa di sebuah kondominium di Tingkat 11. Di kondominium ini juga, Ezzat terserempak dengan awek rimau. Itu pun dengan bantuan Ajai. Sejak bertemu dengan awek rimau, ada sahaja cara untuk Ezzat mendekati awek itu. Dia sentiasa joging di taman kondominium itu semata-mata untuk berjumpa awek rimau. Ezzat telah cuba pelbagai cara, namun sikap awek rimau itu terhadap dirinya sangat menyakitkan hati. Acuh tak acuh sahaja melayannya. Sehingga motor yang dibawa oleh awek rimau itu rosak. Mulai dari saat itu, mereka sentiasa keluar berdua dan Ezzat mencuba untuk memikat hati awek rimau itu.

Bermula cerita suka dan duka Ezzat dan awek rimau. Awek rimau ini ada kawan baik. Sejak kecil lagi mereka berkawan. Apabila dia tahu mengenai Ezzat, dia terus berjumpa dengan Ezzat untuk memberi amaran. Amaran jangan ganggu Shila lagi. Cukuplah kau musnahkan hidup dia 6 tahun lalu. Ezzat terkejut. Liyani a.k.a kawan baik Shila menceritakan apa yang berlaku pada 6 tahun lepas. Shila seakan-akan hilang ingatan bagi melupakan tragedi hitam dalam hidupnya. Liyani tidak mahu Ezzat menyeksa Shila kembali.

Shila Aira adalah tunang Ezzat yang ditinggalkan tanpa sebab. 6 tahun lepas merupakan sejarah yang melukakan hati Shila. Ezzat meninggalkan kampung serta keluarganya semasa hari pernikahan berlangsung. Ezzat telah memalukan Shila sekeluarga dan memberi kesan yang mendalam kepada Shila. Shila menjadi tak tentu arah dan sentiasa menangis. Shila juga cuba melarikan diri dan tidak mahu makan sepanjang hari. Liyani yang menjumpai Shila. Dia juga yang memujuk dan membawa Shila pulang ke rumah. Pada malam itu, seluruh kampung Shila blackout termasuk rumahnya sendiri. Malam itu juga rumahnya terbakar dan menyebabkan ibu bapanya meninggal. Shila terselamat tetapi koma 2 minggu. Sejak dari itu, dia tidak mempercayai lelaki dan sikapnya berubah 360 darjah.

Apabila takdir menemukan mereka kembali, Ezzat berusaha  untuk memenangi hati Shila. Ingatan Shila sudah kembali. Dia masih lagi tidak dapat memaafkan Ezzat. Ezzat sentiasa meminta maaf menggunakan sekeping kad dan buah tangan. Rupa-rupanya. Shila tinggal sebelah rumah Ezzat sahaja. Banyak kenangan yang mereka cipta. Ezzat sentiasa cuba untuk menceritakan hal sebenar yang berlaku 6 tahun lalu. Tetapi Shila tidak ingin mengingatinya lagi. Baginya, buka sahaja buku baru kerana dirinya bukan seperti dulu, seorang yang menggelabah dan cepat melatah.

Akibat dari sikap Ezzat yang tidak mendengar amaran Liyani, Ezzat diserang Kak Rozana, kakak Shila. Dia memberi amaran jangan dekati Shila lagi. Kak Ana tinggal di Kedah bersama-sama suaminya dan merupakan satu-satunya ahli keluarga yang Shila ada. Apabila bercerita tentang keluarga, Ezzat juga tidak terkecuali. Ya, Ezzat mempunyai keluarga angkat yang banyak membantu dari segi kerjaya. Dia juga ada keluarga kandung yang ditinggalkan 6 tahun dahulu.

Ezzat mempunyai seorang abah dan 3 orang adik lelaki. Dia terasa hati dengan sikap abahnya sehingga keluarga Shila menjadi mangsa. Dia tidak pernah pulang ke kampung sekali pun. Tetapi dia lah yang memberi wang perbelanjaan kepada adik-adiknya untuk sambung belajar. Ezzat kembali berbaik dengan keluarganya selepas bertemu kembali dengan Shila. Alhamdulillah, hubungan Ezzat dan abah semakin rapat. Mungkin semua ini adalah ketentuan Allah.

Ezzat ingin masuk meminang Shila dan menjadikannya isteri seperti yang dijanjikan dahulu. Shila telah memaafkan Ezzat dan ingin menikah terus pada bulan hadapan. Kak Ana membantah sekeras-kerasnya, Pada hari pernikahan, Shila melarikan diri dan meninggalkan Ezzat sepertimana yang berlaku 6 tahun dahulu. Shila hanya menerima Ezzat kembali hanya untuk dibalas dendam sahaja. Shila sebenarnya telah membuat keputusan untuk mengikuti kursus ke Jepun selama 6 bulan. Liyani, Nana, Kak Ana dan keluarga Ezzat terus pergi ke lapangan terbang untuk menahan Shila dari terus pergi. Di situ abah Ezzat menceritakan hal sebenar apa yang telah berlaku 6 tahun dahulu. Semua yang ada di situ terkejut dengan pengakuan abah Ezzat dan menjadi serba salah terutamanya Shila.

Mereka menunggu Ezzat dan Ajai di airport sehingga Shila berlepas ke Jepun. Tetapi batang hidung mereka pun tak nampak. Telefon tak berangkat. Jadi, mereka terus pulang. Rupa-rupanya Ezzat dan Ajai ditimpa kemalangan semasa di dalam perjalanan ke airport. Kemalangan disebabkan sifat dengki dan cemburu. Ajai disahkan meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Manakala Ezzat pula dibawa ke hospital kerana tidak sedarkan diri.

6 bulan berlalu, Shila pulang ke tanah air. Dia nekad untuk berbaik semula dengan Ezzat. Tapi sudah terlambat. Ezzat bukan lagi seperti dahulu. Apa yang berlaku pada Ezzat? Apa yang Shila lakukan untuk membaik pulih hubungan mereka? Semuanya terjawab di dalam novel ini.

Setiap novel ada pengajaran dan cerita. Mungkin cerita ini mengajar kita, jangan buat keputusan melulu tanpa bercerita hal sebenar. Ezzat sepatutnya berkongsi masalah dengan keluarga Shila. Mungkin ada cara penyelesaian yang lebih baik. Ya, Ezzat tidak mengaibkan bapanya tetapi dia juga harus menjaga aib keluarga Shila. Mungkin betul, ini adalah balasan Allah terhadap Ezzat kerana sudah menyakiti hati orang lain.

Sebab itu, tidak kisahlah lelaki ke perempuan. Tolong jaga hati orang dan jangan permainkan orang lain. Orang yang dilukai boleh melukakan diri sendiri. Bila benda tidak elok berlaku, menyesal pun tak guna. Inikan pula nak minta maaf. Fikir tentang hati pasangan, keluarga pasangan dan keluarga sendiri. Ya, hati sendiri penting. Tetapi tak salah mengalah untuk kebahagiaan sendiri. Orang yang kita sayang bahagia, kita lagi bahagia.

Dalam hidup ini, tiada sesiapa pun yang tak pernah diuji dugaan. Dugaan yang hadir tidak sama tetapi ada cara penyelesaian. Ada dari segi bentuk rezeki, kerjaya, sahabat, cinta dan keluarga. Sentiasa ingat pada yang Esa. Kita hanya merancang, Dia yang menentukan.

Itu sahaja untuk review kali ini. Cerita ini sedikit menyentuh perasaan. Mya pernah dilukai. Sedikit sebanyak Mya faham apa yang Shila rasa. Coretan in adalah seikhlas hati daripada penulis bernama Mardhiyyah.

Love,
Mya Rosli

Post a Comment

0 Comments